Home »Dakwah »RINGKASAN PERKEMBANGAN LIBERALISME DI MALAYSIA RINGKASAN PERKEMBANGAN LIBERALISME DI MALAYSIA Review By: aswj-rg.com Restoran: Dakwah
LANDSKAP KONTEKSTUAL LIBERALISME
ARG Johor mengajak pembaca untuk memahami erti liberalisme dalam konteks ini. Liberalisme adalah lensa fleksibel yang boleh meneropong lapangan falsafah, politik, ekonomi, masyarakat plural, keadilan sosial dan hak asasi. Setiap lapangan ini akan menjadikan intepretasi terhadap liberalisme itu berbeza-beza kerana tiadanya pengistilahan liberal yang universal. Penulisan ARG Johor ini akan menggunakan liberalisme dalam ruang lingkup pengamalan agama yang bersangkutan dengan penentangan terhadap amalan ritual semasa seperti maulid, tawassul dan tabarruk, pemilihan sumber hukum yang tidak terikat dengan mazhab serta toleransi agama dengan agama-agama lain. Golongan liberal yang lahir dalam masyarakat massa cenderung untuk mengeluarkan pendapat dalam soal agama dengan menggunakan rasional tanpa mengambil kira tahap keluasan ilmu mereka sendiri[1]. Golongan liberalisme juga cenderung untuk mempertikai tindakan serta keputusan atau fatwa yang dikeluarkan oleh otoriti agama sekiranya bercanggah dengan hukum logik mereka misalnya tindakan menyerbu pasangan berkhalwat, penggunaan bahan yang boleh membatalkan puasa, berbuka dan beribadah di gereja, hak penjagaan anak antara ibu bapa berbeza agama yang bercerai dan hak terhadap pemilihan gender serta pengamalan orientasi seksual. Mudahnya liberalisme dalam agama berkisar antara ruang umum vs ruang peribadi, perbezaan intepretasi teks Quran dan Hadis, peranan akal dan wahyu dalam urusan ritual serta keduniaan, kedudukan perundangan sivil dan perundangan Islam di Malaysia serta kefahaman toleransi terhadap kemajmukan masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
RINGKASAN PERKEMBANGAN LIBERALISME DI MALAYSIA
Fahaman liberalisme telah pun bertapak di Malaysia pada awal kemerdekaannya. Fasa perjalananya bermula daripada kehadiran kolonial British yang melakukan liberalisasi ekonomi dan politik daripada penguasaan feudal serta pengamalan agama itu sendiri. Masyarakat Malaysia kemudiannya meninggalkan wajah liberal dengan mengenakan pakaian konservatif melalui proses Islamisasi di zaman Pan-Islamisme. Masyarakat kembali berpaut kepada sistem nilai dan tradisi untuk mengembalikan semula jati diri bangsa Melayu seterusnya bertindak sebagai satu bentuk penentangan nyata terhadap hegemoni barat (westernization). Neo-imperialisme kembali pada abad ke-20 dengan berlakunya proses globalisasi di mana garis sempadan antara negara mula dicairkan dengan sistem perhubungan dan alam maya. Gelombang liberalisme kedua ini tidak mampu lagi dibendung dan pemikiran-pemikiran berorientasi barat telah meresap dalam corpus ilmu di tanah air. Ilmu yang bersifat sekular inilah telah dijadikan sebagai teras sistem pendidikan yang membentuk masyarakat sehingga kini. Ideologi dominan ini hakikatnya dicabar apabila Malaysia memasuki alaf ke-21 dengan pelbagai aliran pemikiran termasuk perjuangan pemikiran Islam yang konsisten dan juga fahaman sosialisme, feminisme, fundamentalisme, dan post-modernisme. Malaysia sebagai sebuah negara membangun terdiri daripada masyarakat yang sangat rencam dari segi kejamakan budaya, kemajmukan agama, kepelbagaian tahap dan perbezaan aliran pendidikan serta jurang sosio-ekonomi dan demografi yang melebar [2]. Kepelbagaian ini telah menafikan liberalisme sebagai ideologi dominan dalam masyarakat kerana ini lah abad berlakunya kecairan ideologi dalam masyarakat terutama anak muda. Mereka tidak lagi berpegang kepada satu-satu ideologi tetapi mengambil sebahagian dari setiap ideologi yang dirasakan sesuai dengan ruang lingkup sosialisasi dan kontinum rasional mereka. Walaupun tiadanya ideologi dominan, tetapi inilah kemuncak kepada legasi humanisme dan positivisme iaitu manusia menjadi pusat kepentingan dan bukan lagi berpaksikan kepada ketuhanan[3]. Inilah sejarah ringkas yang boleh difahami oleh masyarakat dalam melewati perjalanan falsafah liberalisme yang berakar umbi di Malaysia.
PENGUKUHAN LIBERALISME DI MALAYSIA
Kerajaan telah berperanan dengan menginstitusikan ideologi sekular dan Islam bagi menyeimbangkan dua segmen yang saling berpolar ini. Jambatan antara dua idea ini telah dihubungkan melalui kerangka konservatisme yang disesuaikan dengan kedua-dua kutub tersebut. Kerajaan memainkan peranan yang sangat penting dalam mengenakan aturan sosial ini supaya masyarakat hidup harmoni dengan beramal kepada kepercayaan masing-masing. Perkara ini termasuklah juga soal-soal keindukan melayu, kedudukan istimewa raja-raja, Islam sebagai agama rasmi serta penetapan kepada manhaj dan mazhab tertentu dalam pengamalannya. Status quo ini mendasari pegangan kelompok tradisi yang mendominasi State. Status quo ini mulai tergugat apabila struktur ini tidak lagi berupaya berhadapan dengan cabaran pluralisme yang menuntut kepada kesamaan hak dan nilai sivil dengan lebih memfokuskan isu sejagat yang melangkaui kelas kaum dan agama. Generasi muda yang lebih terdedah dengan idea moden dan memiliki perbezaan yang sangat ketara dengan golongan tradisional menjadikan liberalisme sebagai wadah pembebasan.
Pengamalan beragama dan tradisi keilmuan yang dipraktikkan selama ini tidak lagi berjaya disampai dengan baik kepada generasi seterusnya sehingga menyebabkan praktis mereka hanyalah amalan yang diwarisi dan bukan lagi menjadi ilmu. Kehadiran liberalisme telah berjaya berperanan sebagai neraca pertimbangan terhadap agama sehingga melihat penetapan amalan tradisional sebagai kolot, tidak membawa kepada kemajuan serta dan lebih malang lagi dianggap sebagai kefahaman yang bathil. Mereka lebih terbuka kepada idea kesederhanaan dalam bingkai liberal berbanding idea wasatiyyah dalam ASWJ [4]. Hal ini juga menunjukkan perbezaan hakikat makna kepada peingistilahan terma yang sama.
PENDORONG KEJAYAAN PERTAPAKAN LIBERALISME DALAM KALANGAN GENERASI MUDA
Generasi muda lebih mudah menerima idea-idea liberal berbanding idea-idea konservatif yang dibawa oleh generasi terdahulu terutama institusi pemerintahan. Hakikat kepada punca ini sukar difahami oleh otoriti agama hinggakan legitimasi otoriti terhadap anak muda semakin diragui [5]. Fenomena ini didorong oleh i. peranan falsafah rasionalisme terhadap pemikiran masyarakat, ii. kecairan ideologi dalam kerangka pertembungan arus pemikiran dan iii. pemodenan dan globalisasi.
Tradisi keilmuan moden yang sekular telah menuntut masyarakat di zamannya (generasi kini) untuk lebih mengutamakan bukti saintifik bagi menjustifikasikan satu-satu tindakan tanpa terikat dengan nilai tradisi. Masyarakat lebih mudah menerima bukti yang mampu dicerap oleh 5 deria fizikal bagi menaakul sesebuah peristiwa berbanding nilai-nilai yang bersifat sentimen dan dianggap tidak rasional. Teras kepada pemikiran ini adalah pemisah kepada polar pemikiran antara dua segmen generasi ini. Ketidak upayaan amalan tradisi untuk dirasionalkan oleh legal authority melalui panca indera ini menjadikan amalan tersebut semakin dijauhi [6].
Alaf 21 ini juga telah menghimpunkan pemikiran-pemikiran yang rencam dalam sebuah negara dan amat memberi kesan kepada negara membangun. Generasi muda dari pelbagai latar tidak lagi boleh dipaksa atau ditetapkan untuk berpegang kepada satu cara hidup yang khusus. Common sense & conscience individu tersebut mencorak pegangan yang menjadi norma seharian mereka. Faktor ini telah mencetuskan isu kontroversi seperti penganjuran program menyentuh anjing dan berbuka di gereja selain makan di ruang umum semasa Ramadhan oleh Maryam Lee serta isu LGBT. Adakah makan di bulan Ramadhan ini tindakan yang beretika ataupun tidak? Adakah perbuatan tersebut termasuk dalam ruang umum atau ruang peribadi? Perbezaan justifikasi ini adalah disebabkan oleh pegangan rasional mereka sendiri tanpa bersumber kepada hukum wahyu. Keperluan untuk mengikuti secara menyeluruh akan satu-satu pegangan tidak lagi relevan kerana beranggapan akal fikiran sendiri sudah mencukupi.
Pemodenan dan globalisasi juga adalah faktor yang tidak boleh diketepikan. Ideologi dan masyarakat yang bermigrasi ke dalam Malaysia juga menyebabkan aturan sosial semasa terganggu [7] dan pemikir Barat cuba untuk mengubah struktur sosial yang terbina selama ini. Mereka jugalah yang membawa imej kemajuan, keadilan sosial dan nilai sivik serta hak asasi sehingga memikat generasi muda untuk berkiblatkan Barat. Hegemoni ini disebarkan dengan begitu drastik melalui dunia digital, dunia penerbitan dan percetakan malahan mendominasi budaya global. Generasi muda yang menolak budaya dominan dan sub budaya ini dianggap terpinggir daripada kemajuan dan tidak mahu dikategorikan dengan generasi terdahulu.
KESIMPULAN
Pemerintah, institusi negara, sarjana Islam dan tempatan sewajarnya perlu peka terhadap kedinamikan yang berlaku pada alaf 21 ini. Pendekatan konvesional tidak lagi berkesan untuk menandingan pendekatan moden yang mengalami proses evolusi dan inovasi dalam memperkukuhkan pengaruhnya. Ilmu-ilmu Islam, pengisian kebudayaan (cultural content) perlu disebarkan dalam laras bahasa terkini, hujah-hujah yang mampu menghinggap akal fikiran anak muda yang rasional serta perlunya pembaharuan interaksi antara pihak otoriti dengan masyarakat. Tamaduan Islam Alaf 21 perlu memperlihatkan perabadan bernilaikan kemanusiaan sebagai counter hegemony kepada westernization kini.
RUJUKAN
1. Kelemahan metodologi golongan literalist oleh Tariq Ramadan. 2009. Radical Reform: Islamic Ethics and Liberation. Oxford: Oxford University Press.
2. Rujuk perbahasan masyarakat sebagai unit yang plural. Amartya Sen. 2006. Identity and Violence: the illusion of destiny. New York: Norton and Company.
3. Bacaan lanjut tentang ideologi yang muncul abad ke-21. Thor May. 2014. What will be the dominant ideologies of the 21st Century? https://www.academia.edu/5681348/What_will_be_the_dominant_ideologies_of_the_21st_Century [10 July 2016]
4. Bacaan lanjut perbezaan tradisionalis dan rasionalis. Rujuk: Ahmad Farouk Musa. 2013. Paradigma Baru Tentang Politik Islam.
5. Perbahasan mendalam berkaitan kolaborasi antara otoriti agama dan masyarakat plural, rujuk: Bayat, Asef. 2007. Islam & Democracy: What is the real qestion?. ISIM Paper. No. 8. Amsterdam: Amsterdam University Press.
6. Rujuk perbasahan reaksi kelompok tradisonlis terhadap ilmu-ilmu keduniaan: Peter R. Demant. 1951. Islam vs Islamism: The Dilemma of the Muslim World. Prager Publisher.
7. Kamal Hasan. Challenges of Globalization: Setting the Muslim Mindset in Malaysia. Institute of Policy Study. http://www.ips.org.pk/the-muslim-world/190-challenges-of-globalization-setting-the-muslim-mindset-in-malaysia [10 July 2016]
Disediakan Oleh:
Pertubuhan Penyelidikan Ahlussunnah Wal Jamaah
Johor Bahru, Johor (ARG Johor) RINGKASAN PERKEMBANGAN LIBERALISME DI MALAYSIA | aswj-rg.com | 4.5